Saya dan suami sempat membeli buku-buku di Pesta Buku Jakarta pada pertengahan tahun yang lepas.. terlalu banyak buku dibeli,sampaikan x sempat nak membaca kesemuanya.. ada sebuah buku yang baru saya selak, dan ternyata bait-bait buku tersebut sangat indah.
Buku tersebut menghimpunkan doa-doa seorang isteri buat mengiringi suami mengharungi liku-liku kehidupan. Sebagai seorang isteri, saya amat tersentuh dengan beberapa doa yang ditulis di dalam buku ini. terdapat 33 doa pilihan untuk isteri. Dan yang paling saya rasakan amat tertarik adalah beberapa potong doa yang amat bagus untuk seorang isteri ..antaranya:
DOA UNTUK KEBAHAGIAAN KEHIDUPAN RUMAH TANGGA..
“ Ya Allah, Engkau adalah Penguasa dan Pencipta diriku. Engkau pula yang telah menetapkan semua keadaan dalam kehidupan ini. bahagiakanlah kehidupan rumah tanggaku bersama pasangan yang telah Engkau pilih dan tetapkan untuk diriku. Kerana aku yakin, Engkau-lah sumber kebahagiaan yang sesungguhnya. Tiada kebahagiaan jika harus bertentangan dengan kehendak dan ketetapan-Mu. Wahai Yang Maha Memberi, berikanlah ketenteraman dalam jiwaku dan juga jiwa suamiku (dan anak-anakku), sempurnakanlah kebahagiaan ini dengan keredhaan terhadap kami..Amin”
DOA ISTERI DI SEBALIK KEJAYAAN SUAMINYA
“Ya Allah Ya Rabbi, Engkau adalah Zat Yang Maha Memberi, maka berikanlah kepada suamiku kelapangan atas rezekinya. Jika letaknya masih jauh, maka dekatkanlah ya Rabb. Jika masih berada di atas langit, maka segerakanlah turunkan untuknya. Dan jika masih tertahan di dasar bumi, sungguh hanya Engkau yang Maha Mampu untuk segera mengeluarkannya untuk suamiku. Hanya kepada Engkau kami memohon rezeki dan hanya Engkau yang Maha Pemberi. Kerana keagungan-Mu meliputi alam semesta dan isinya. Ya Allah, kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan-Mu ya Allah, tiada berhak kami menyembah selain kepada-Mu dan tidak pernah kami menyembah selain-Mu, kami hanya meminta kepada-Mu, maka kabulkanlah permintaan ini, Ya Rabb. Dan aku percaya, hanya Engkaulah sebaik-baik Pemberi dan Zat yang Maha Menerima keluhan serta permohonan hamba..Amin..”
DOA ISTERI UNTUK MENDAPAT KETURUNAN YANG MULIA
“Ya Allah Ya Rabbi. Aku selalu berusaha untuk memuliakan-Mu dengan menjaga kemuliaan yang telah Engkau anugerah berupa suami terbaik pilihan-Mu. Untuk itu aku memohon, kurniakan pula kepada kami keturunan yang mulia dan memuliakan Engkau. Kerana, hanya Engkau yang berhak kami muliakan. Tiada kemuliaan selain dari sisi-Mu. Wahai zat Yang Maha Mulia, muliakanlah kami semua dengan kebesaran nama dan keagungan sifat-Mu.. Amin..”
DOA ISTERI DALAM PROSES MENANTI UNTUK MENDAPAT KETURUNAN YANG MULIA
“Ya Allah, Rabb yang menguasai segala bentuk kemuliaan, muliakanlah aku dan orang-orang yang aku cintai. Kerana, kemuliaan dari-Mu memberi kami motivasi yang kuat untuk tetap menjalani kehidupan dan ujian yang sangat berat ini. berilah kami ketabahan dan kekuatan bersyukur, dengan memberikan keturunan kepada kami, sebagai penyejuk pandangan dan hati kami. Juga sebagai penerus doa-doa kami kepada-Mu. Duhai yang Maha Mengabulkan permohonan, perkenankan permohonan kami. Dan selamatkanlah kami dari sikap ingkar atas semua kehendak-Mu.. Amin..”
DOA ISTERI AGAR DIRI DAN KELUARGANYA MENDAPAT SYURGA ALLAH YANG MAHA INDAH
“Ya Rabbi, hanya Engkau tempat kami meminta dan tempat kami berlindung, naungan-Mu sangat kami perlukan di dunia ini mahu pun di akhirat kelak. Jadikanlah kami keluarga yang mematuhi seluruh perintah-Mu dan menjauhi apa sahaja yang telah Engkau larang. Jangan jadikan hati kami patuh kepada kesesatan dan ajakan yang menyesatkan. Lindungilah kami dari kejamnya dunia, fitnah yang menghancurkan dan kerugian di alam akhirat kelak. Wahai Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan, perkenankan doa kami ini. serta jadikanlah kami termasuk golongan hamba-hamba-Mu yang pandai bersyukur atas seluruh anugerah-Mu dan pandai memahami setiap larangan-Mu untuk menjauhinya. Ya Rabbi, Engkau adalah zat Yang Maha Indah, takdirkanlah kami untuk mendapatkan keindahan syurga-Mu dan kerinduan terhadap pertemuan dengan wajah-Mu.” Amin..
RUJUKAN: doa-doa seorang isteri buat mengiringi suami mengharungi liku-liku kehidupan
*buku ini tulisan dari Indonesia. jadi bahasanya sy ubah sedikit.sesuai dengan kefahaman kita.
0 comments:
Post a Comment